Sejarah Pekan Balingian

 

Balingian merupakan daerah kecil yang terletak di salah satu kawasan dalam bahagian Mukah dan ianya juga dikenali sebagai Baligian, ianya terletak kira-kira 60 kilometer dari bandar Mukah. sejarah kewujudan daerah Balingian ini tidak dapat dipastikan dengan tepat kerana tiada sebarang peristiwa besar yang berlaku di daerah ini. namun begitu, nama daerah ini dikatakan berasal daripada sebuah sungai yang mengalir di daerah ini yang dikenali sebagai sungai Balingian. Dikatakan suatu waktu dahulu penduduk di Balingian amat bergantung kepada Sungai Balingian untuk segala urusan samada untuk pengaliran padi di huma dan juga pengangkutan serta kehidupan harian. Jadi menamakan daerah itu sebagai Balingian merupakan sesuatu yang bertepatan kerana jasa sungai tersebut kepada penduduk setempat harus dihargai. Walaupun tidak mempunyai sejarah besar peristiwa di daerah ini namun begitu keunikan Balingian terletak pada sejarah kewujudan etnik pribumi di Daerah Balingian yang mana rata-rata penduduk di daerah Balingian adalah daripada etnik Melanau. Seperti daerah-daerah di Sarawak yang majoriti penduduknya adalah dari kaum Melanau, maka Balingian juga mempunyai kaum Melanau yang beragama Islam dan Kristian. 

Umum mengetahui bahawa dialek bahasa Melanau sebenarnya berbeza-beza mengikut daerah tempat mereka tinggal. Namun begitu untuk Melanau dari daerah Balingian perbezaan dialek Melanau mereka dengan melanau dari daerah Mukah, oya, dalat, Igan, matu, daro dan belawai adalah amat jauh sekali. Menurut sejarahnya perbezaan ini adalah berkaitan dengan asal-keturunan Melanau Balingian itu sendiri yang mana sejarah mereka agak berbeza daripada Melanau dari daerah-daerah yang lain.

 

Dikatakan suatu masa dahulu, Melanau Balingian tiada bezanya dengan Melanau dari daerah-daerah yang lain namun jumlah mereka yang menghuni daerah Balingian adalah amat sedikit. Ketika zaman memburu kepala masih lagi diamalkan di bumi Sarawak, satu etnik yang sekarang memang jarang-jarang kita dengar kewujudannya iaitu etnik Baketan telah melarikan diri untuk survival sehingga ke Balingian. Etnik Baketan ini adalah etnik Baketan yang mendiami Bukit Tengalat di Sungai Krian. Di dalam mencari kelangsungan hidup akibat sering diserang oleh kaum Iban, etnik Baketan telah bercampur gaul di dalam penghidupan masyarakat Melanau Balingian malah etnik Baketan telah tinggal bersama-sama dengan kaum Melanau Balingian di rumah-rumah panjang Melanau pada masa itu. Akibat daripada tinggal bersama-sama akhirnya etnik Baketan ini diadaptasikan menjadi Melanau Balingian seperti melalui perkahwinan campur malah mereka juga telah meresapi penghidupan Melanau Balingian baik dari segi budaya dan pertuturan.